Tuesday, May 5, 2009

MEMORANDUM MEMBANTAH KEPUTUSAN KABINET

MEMORANDUM MEMBANTAH KEPUTUSAN KABINET MENETAPKAN AGAMA ASAL ANAK MENGIKUT AGAMA ASAL IBU DAN BAPA SEMASA PERKAHWINAN


KEPADA :
Y.A.B. DATO' SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK,
Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan,
Pejabat Perdana Menteri,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA



Yang Amat Berhormat Dato’,

MENUNTUT PIHAK KABINET MENARIK SEMULA KEPUTUSAN MENETAPKAN AGAMA ASAL ANAK MENGIKUT AGAMA ASAL IBU DAN BAPA SEMASA MEREKA BERKAHWIN

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk untuk makluman dan tindakan segera Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.

2. Di atas kesedaran untuk mempertahankan ketinggian martabat agama dan menjamin keluhuran perlembagaan Malaysia, kami mewakili kolisi Persatuan-persatuan Mahasiswa Islam dan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti-universiti sekitar Lembah Klang menyatakan bantahan terhadap keputusan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kabinet berkenaan isu menetapkan agama asal anak mengikut agama asal ibu dan ayah semasa mereka berkahwin. Mesyuarat pada 23 April 2009 tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan kemudiannya diumumkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz yang juga merupakan salah seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

3. Sepertimana yang kita semua maklum, isu berkenaan status agama anak yang masih di bawah umur setelah salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk Islam, menjadi perdebatan hangat sejak dari dahulu lagi, sama ada anak tersebut juga dikira sebagai Islam atau masih kekal mengikut agama asal semasa ibu dan bapanya berkahwin. Terbaru, kes Kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam. Mohd Ridzuan dilaporkan turut menukar agama anaknya,Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah walaupun ibu mereka, Indra Ghandhi, 35, masih beragama Hindu. Berikutan itu, Indra telah meminta bantuan Hindu Sangam di Ipoh kerana mendakwa Mohd Ridzuan menukar agama tiga anak mereka tanpa kehadiran dan memaklumkan padanya terlebih dulu. Kes ini hingga kini masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Perak.

4. Kami memandang bahawa keputusan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kabinet berkenaan dengan isu ini mempunyai beberapa kelemahan yang ketara. Antaranya adalah :

· Keputusan Kabinet ini juga seolah-olah telah campurtangan dalam urusan kehakiman dan mencemar sistem pengasingan kuasa atau Separation of Power yang diamalkan di Malaysia apabila pihak eksekutif ( Kabinet ) mula campurtangan dalam urusan judiciary ( kehakiman ).

· Pihak Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga telah membuat keputusan ini disaat perbicaraan berkenaan kes ini masih lagi berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Perak.

· Keputusan ini dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa dan seolah-olah mengambil jalan mudah menyelesaikan masalah berkaitan dengan isu status agama anak bagi pasangan yang salah seorang daripadanya memeluk Islam. Antara hujah pihak Kabinet adalah untuk menyelesaikan konflik ini untuk jangkamasa yang panjang.

· Keputusan Kabinet ini juga diambil tanpa merujuk kepada Majlis Mufti atau mana-mana pihak yang berautoriti dalam agama Islam dan juga pihak yang berautoriti dari sudut undang-undang Sivil dan Syariah terlebih dahulu. Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


5. Bertitik tolak dari rasional di atas, mahasiswa hadir dengan membawa beberapa hujah agar pihak Kabinet menarik semula keputusan ini. Mahasiswa juga memberi beberapa cadangan alternatif untuk perhatian pihak Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Antaranya :

Keputusan ini dilihat bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa antara pihak mahkamah dan eksekutif. Tindakan tersebut secara jelas telah menggambarkan usaha dari pihak eksekutif untuk campur tangan dalam perkara yang melibatkan bidang kuasa kehakiman, sedangkan pihak kehakiman sepatutnya bebas dalam mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh apa yang diputuskan kerajaan.

Dalam isu ini, Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorangpun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subahsini mlwn Saravanan di mana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Keputusan Jemaah Menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes Subahsini. Jemaah Menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Sebarang perubahan yang ingin dibuat perlu mengambil kira undang-undang sedia ada serta pandangan semua pihak supaya tidak menimbulkan kebimbangan masyarakat Islam dan juga kekeliruan dikalangan masyarakat bukan Islam juga.

Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permasalahan ini dan bukan melalui campurtangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.

Keputusan ini juga dilihat dibuat tergesa-gesa, tidak merujuk kepada golongan pakar agama (ulama) terlebih dahulu sedangkan isu ini merupakan isu berkait rapat dengan persoalan perundangan Islam. Seharusnya pihak Kabinet membuat penelitian dengan lebih mendalam dengan mengambil kira pandangan mereka yang pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan apa-apa keputusan. Justeru mahasiswa mencadangkan agar perbincangan ilmiah dan pertemuan antara ketua-ketua agama perlu dilakukan demi mendengar dan mendapat pandangan yang adil dari semua pihak. Perbincangan ilmiah dan mendalam berkenaan dengan isu ini amat diperlukan demi mendapatkan keputusan yang matang dan juga memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Selain itu, mahasiswa juga mencadangkan agar kedua-dua pihak, mahkamah sivil dan syariah perlu mencari titik harmoni antara kedua-dua bidangkuasa mahkamah dalam isu ini. Pertemuan antara pihak tertinggi yang mengetuai mahkamah sivil dan pihak yang mengetuai mahkamah syariah perlu dilakukan demi mencari titik sepakat dan menyelesaikan konflik dan kekeliruan berkaitan dengan isu yang sepenting ini.



Justeru, mahasiswa memohon agar pihak Kabinet menarik semula keputusan ini demi kepentingan dan keadilan untuk semua pihak. Mahasiswa optimis pihak Kabinet pasti mahukan yang terbaik dan keadilan untuk semua pihak. Berikan masa yang secukupnya untuk perbincangan dari sudut agama dan juga undang-undang sebelum membuat sebarang keputusan. Serahkan pada yang lebih berautoriti untuk membuat keputusan dalam isu ini.



Sekian, terima kasih.




Memorandum ini telah dipersetujui bersama oleh :



Kelab Maaaruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia [ MCUIAM ]
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya [ PMIUM ]
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia [ PMIUPM ]
Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia [ ISIUKM ]
Majlis Perwakilan Pelajar UIAM [ MPMUIAM ]
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya [ MPMUM ]
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional [ MPMN ]
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia [ GAMIS ]
Solidariti Mahasiswa Malaysia [ SMM ]

No comments:

Post a Comment