Wednesday, May 13, 2009

Saranan Buat SIGMA Berpencak Lebih Pantas!

Pada saya, tak salah muslimat bermula dengan satu gagasan berjiwa besar terlebih dahulu, walau hanya sekadar slogan seperti

"Muslimat POWER, POWER, POWER !!! "

yang dilaungkan bermula dari STIGMA (Simposium Tindakan Gerakan Muslimat Muda ) anjuran GAMIS tak lama dahulu. Tak mengapa mencetus semangat dahulu. Yang penting, langkah seterusnya adalah mencetus 'kesedaran', elemen 'rasa' ini amat penting untuk kekalkan momentum agar ianya boleh melekat lama dalam hati dan minda , bukan sekadar tempelan semangat yang boleh pergi bila-bila masa sahaja. Orang Jepun sendiri dilatih majikan mereka untuk menyebut ikrar kerja mereka 20 kali setiap hari sebelum memulakan sesuatu kerja. Dan seterusnya gunakanlah akal yang bijak untuk bertindak.

Dalam banyak program-program yang saya ikuti tersebut, antara persoalan dan elemen yang pernah dibincangkan adalah berkaitan dengan isu 'gerakan muslimat'. Dalam satu sesi brainstorming saya mencadangkan untuk menerapkan elemen 'feminisme' dalam satu slot yang melibatkan muslimat sahaja. Feminisme bukan dalam ertikata feminisme yang sebenar-benarnya tersebut, tetapi, 'real intention' saya ketika itu adalah untuk menerapkan semangat gerakan muslimat, agar mereka merasai istimewanya menjadi seorang muslimah dan juga tahu di mana posisi muslimat boleh berperanan sewajarnya dengan meningkatkan aspek kepimpinan dalam diri.

Mungkin kerana 'wording' 'feminisme' yang saya gunakan tatkala melontarkan idea tersebut menyebabkan saya mendapat respon mengejut dari beberapa orang muslimin dalam nada dan riak muka yang penuh kerisauan. Saya dah mengagak sebenarnya. Tetapi menarik situasi ini.

Ada yang mengingatkan supaya saya tidak menerapkan elemen feminisme ini kerana isme feminisme ini sendiri adalah antara ideologi yang ditentang. Ada yang mencadangkan agar elemen feminisme ini saya terapkan dalam elemen leadership muslimat yang juga menjadi fokus yang hendak disentuh pada slot tersebut. Tak kurang ada yang mengatakan, elemen feminisme ini perlu diterapkan sekadar sesuai dengan setakat mana muslimat boleh berperanan. Lalu kisah-kisah sirah bagaimana muslimat berperanan sebagai jururawat tatkala peperangan berlaku di zaman Rasulullah dahulu dikisahkan semula sebagai peringatan. Muslimat lebih banyak yang jadi jururawat berbanding yang mengangkat pedang berperang sesama muslimin. Hujah diteruskan lagi. Begitu risau dan nampak 'tak harap' muslimin-muslimin tersebut pada saya.

Saya tersenyum, mula menerangkan dan memberi penjelasan apa yang sebenarnya saya maksudkan.

Saya mengharapkan muslimat boleh pergi jauh dari sekadar yang ada muslimat dalam gerakan kini. Fokus saya adalah kepada muslimat muda, srikandi gerakan. Masalah kelesuan muslimat bukanlah masalah baru yang tiba-tiba muncul, tapi sebenarnya masalah yang telah lama berakar umbi dalam gerakan kita. Hinggakan beberapa sesi kepimpinan PMI-PMI di banyak kampus yang saya perhatikan, termasuk di luar negara, masing-masing pernah meletakkan tunggak 'kebangkitan muslimat' sebagai salah satu fokus dalam ucapan dasar Presiden mereka. Muslimat sentiasa istimewa, sentiasa unik dan berharga. Justeru, treatment rawatan yang diterima juga perlu sentiasa istimewa.

Menyelusuri Sejarah Gerakan Feminisme

Feminisme ialah himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada penindasan oleh kaum lelaki. Dalam istilah yang mudah, feminisme merupakan kepercayaan kepada kesamaan sosial, politik, dan ekonomi antara kedua-dua jantina, serta kepada sebuah gerakan yang dikendalikan berdasarkan keyakinan bahawa jantina harus tidak merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.

Sejarah gerakan feminisme ini bermula pada abad ke-18 akibat kemelut yang dialami dan dirasakan oleh golongan wanita. Perjuangan kaum wanita dalam memperoleh hak-haknya pun berlangsung cukup lama. Ini disebabkan beberapa diskriminasi yang kerap terjadi dalam kehidupan seharian mereka, diantaranya, sekatan terhadap kebebasan wanita dalam segala bidang, baik sosial, pendidikan, ekonomi, politik, budaya, sains, pekerjaan dan banyak hal lainnya. Bahkan laki-laki ketika itu menjadi sangat dominan dan superior dibandingkan wanita, sehingga mereka selalu diletakkan di bawah lelaki.

Wanita ketika itu bukan hanya tidak mendapat tempat dalam masyarakat, apatah lagi mereka dipergunakan segala macam cara, perbuatan-perbuatan tersebut tidak mencontohkan bahawa golongan ini dilayan dengan peri kemanusiaan. Dalam tamadun china, golongan wanita ini kebanyakannya ditangkap atas arahan maharaja untuk dijadikan gundik mereka. Dipisahkan dengan keluarga dan apatah lagi dipaksa menjadi gundik diraja. Dalam tamadun india pula golongan wanita yang ingin berkahwin pula yang dipaksa membayar mahar atau dowry kepada bakal suami mereka. Dan selepas mereka berkahwin, keluarga mertua boleh melakukan apa-apa saja terhadap si isteri. Tamadun arab pula merendahkan wanita serendahnya. Mereka adalah semata-mata simbol seks dan dianggap hina dalam masyarakat. Anak perempuan yang dilahirkan ditanam hidup-hidup ataupun disembunyikan seumur hidup bagi mengelakkan malu. Menjadi budaya mereka isteri ditukar-tukar sesuka hati dan ada pula yang mempunyai sehingga puluhan isteri. Kebajikan mereka tidak pernah diambil berat dan mereka dipergunakan sesuka hati.

Gerakan wanita yang dikenal dengan gerakan feminisme dipelopori oleh Lady Mary Wortley Montagu dan Marquis de Condorcet bertepatan dengan kelahiran era Pencerahan di Barat. Kata feminisme diciptakan pertama kali oleh aktivis sosialis utopis, Charles Fourier pada tahun 1837. Menjelang abad ke 19 feminisme lahir menjadi gerakan yang cukup mendapatkan perhatian di Eropah. Perempuan di negara-negara penjajah Eropah memperjuangkan apa yang mereka sebut sebagai universal sisterhood.

Pergerakan center Eropah ini berpindah ke Amerika dan berkembang pesat sejak penerbitan buku John Stuart Mill, the Subjection of Women (1869). Perjuangan mereka melahirkan feminisme gelombang pertama.

Gerakan Feminisme "Islamik" atau Gerakan Muslimat ?

Apabila ditelusuri sejarah gerakan feminisme ini, sebab dan punca kewujudannya, gerakan seperti ini di zaman kini seolah-olah sudah tidak releven lagi untuk diperjuangkan. Kerana sebab, punca kewujudannya juga telah hilang seperti mana kaedah fiqh yg ada menyatakan Gugur sesuatu hukum, disebabkan gugurnya sebab kewujudan hukum tersebut ”

Dengan kedatangan Islam, wanita dibela habis-habisan, seolah-olah diangkat dari kubangan lumpur yang sangat dalam. Bukan hanya di kalangan wanita pada umumnya, lebih khusus lagi Islam juga melakukan pembelaan kepada mereka yang lemah dan tertindas, seperti anak-anak perempuan yatim, ataupun kanak-kanak.Wanita diberikan hak yang sepatutnya mereka miliki, sesuai dengan fitrah kejadian seorang wanita yang mana Al-Khaliq Allah Taala jua yang lebih mengetahui.

Wanita diangkat martabatnya sebagai golongan yang mulia. Status seorang ibu hinggakan menjadi kunci syurga buat anak-anaknya. Dalam hal-hal ketaqwaan dan keimanan, langsung tidak Allah bezakan antara lelaki dan wanita. Malah kini, wanita terus melangkah dengan lebih jauh, turut mengambil peluang dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran negara. Dewasa ini, bukan sahaja wanita memiliki kuantiti yang ramai, malah turut mampu melahirkan individu-individu yang berkualiti.

Di sebalik pelbagai kemelut yang dihadapi wanita kini, seperti isu-isu penindasan hak, penderaan dalam rumahtangga, kes-kes rogol dan ragut yang selalu wanita menjadi mangsa, gerakan feminisme yang berteraskan kepada konsep perjuangan persamaan hak antara lelaki dan perempuan demi sebuah cogankata ‘keadilan sejagat’ bukanlah penyelesai terbaik untuk menyelesaikan isu-isu yang telah disebutkan sebentar tadi.

Isu persamaan antara lelaki dan wanita bukanlah isu sebenar yang perlu diperjuangkan. Ianyan hanyalah sekadar satu tempelan atau alasan golongan-golongan tertentu yang berselindung disebalik hakikat bahawa mereka tidak faham dan tidak mahu menggunakan Islam dan syariat Allah sebagai penyelesai kepada segala masalah. Justeru, wanita kini tidak memerlukan gerakan feminisme seperti ini, tetapi apa yang diperlukan adalah sebuah gerakan muslimat @ wanita yang mampu berperanan sepertimana yang Islam telah gariskan. Kita juga tidak perlu lagi kepada Gerakan Feminisme Islamik kerana jika kita letakkan dasar perjuangan feminisme sepertimana yang termaktub dalam definisi sebenar feminisme itu sendiri, mustahil ianya boleh jadi Islamik.

Tapi, andai kita ingin mendefinisikan semula gerakan feminisme ini dengan dasar dan corak bentuk seperti yang Islam gariskan, mengapa tidak kita berintima’ dengan gerakan yang seperti ini? Mungkin SIGMA ( Srikandi Gerakan Muslimat Muda ) sayap kiri GAMIS adalah jawapannya.

"Treatment" Buat Muslimat

Saya sudah lali, sudah mangli dengan ungkapan 'pelemah semangat' yang sering dituturkan muslimin tatkala melihat ada muslimat yang mungkin pada pandangan mereka 'agak menonjol' dan 'terkehadapan'. Saya juga sudah biasa sangat dengan persepsi-persepsi kaum Adam, dengan pandangan dan lirikan sinis mereka tatkala saya bangun untuk memberikan pandangan dalam mesyuarat-mesyuarat yang dijalankan. Tak kurang ada yang senyum-senyum, gelak-gelak, berbisik-bisik. Pelbagai reaksi ditunjukkan. Kebiasaannya pula dalam sesi muhasabah muslimin-muslimat, pernah ada seorang muslimin menyatakan yang dia pelik dengan saya yang tak serik-serik untuk bangun dan bagi pandangan walaupun saya pernah dikritik dan kehadiran saya kadang-kadang 'tidak disenangi' muslimin kerana 'menggugat' mereka. Saya tak katakan semua muslimin begini. Ada segelintirnya memang absolutely macam ni ! Saya tak kata saya bagus sangat, sebab saya memang tak bagus sangatlah saya masih tidak boleh diterima oleh semuanya!

Salah satu sebab muslimat terus terkebelakang antaranya kerana inilah. Tak tahan dengan penangan dan kerenah muslimin yang jenis ni. Tapi hakikatnya, sebab ini bukanlah 'real problem' kepada kelesuan gerakan muslimat, tapi hanya sekadar 'presented problem'. Realnya muslimat selalu berdepan dengan masalah krisis keyakinan diri, rasa rendah diri (inferior) yang tak bertempat, malu yang tak perlu dan juga dibuat-buat. Pergi lebih dalam lagi, muslimat sebenarnya selalunya sangat kurang membaca, kurang kemahiran. Inilah antara penyebab utama pada pandangan saya, gerakan muslimat tak boleh sekencang gerakan feminisme liberal yang lain, tak mampu pergi jauh memimpin dan membuat perubahan.

Justeru, muslimat perlu 'sedar' dan 'terasa' akan hakikat ini. Saya sendiri sebenarnya cukup-cukup terasa. Saya tahu ada insan-insan di luar sana yang mengatakan yang muslimat "POYO" , bercakap je lebih dari tindakan. Bercakap pulak kosong, tak berisi. Itupun kalau bercakap, berdozen-dozen muslimat hanya mampu menjadi tukang angguk dan tukang geleng sahaja dalam mesyuarat-mesyuarat penting, hingga kadang kehadiran mereka tak dirasai pun. Inilah antara agenda-agenda ujian yang menguji gerakan muslimat.

Pada saya, tak salah muslimat bermula dengan satu gagasan berjiwa besar terlebih dahulu, walau hanya sekadar slogan seperti "Muslimat POWER, POWER, POWER !!! " yang dilaungkan bermula dari STIGMA ( Simposium Tindakan Gerakan MUslimat Muda ) anjuran GAMIS tak lama dahulu. Tak mengapa mencetus semangat dahulu. Yang penting, langkah seterusnya adalah mencetus 'kesedaran', elemen 'rasa' ini amat penting untuk kekalkan momentum agar ianya boleh melekat lama dalam hati dan minda , bukan sekadar tempelan semangat yang boleh pergi bila-bila masa sahaja. Dan seterusnya gunakanlah akal yang bijak untuk bertindak.

Sekadar sedikit luahan rasa saya buat semua muslimat, srikandi gerakan. Kita boleh melangkah jauh, yang penting sedar kenapa kita perlu melangkah, ke mana hendak melangkah dan bagaimana hendak melangkah. Mulakan dengan langkah yang pertama hari ini.

Wallahu a'lam.

:: Nurul Suhadah bt Shuib ::
Vice President II
Maaruf Club UIAM
~SrikandiHarakah~










No comments:

Post a Comment